AMALAN PEMBELAJARAN KOPERATIF
OLEH GURU-GURU MATEMATIK
MAZLAN BIN IBRAHIM
JABATAN MATEMATIK
Maktan Perguruan Kuala Terengganu
Tujuan kajian ini
ialah untuk meninjau amalan Pembelajaran Koperatif (PK) oleh guru-guru
matematik sekolah rendah daerah Kuala Terengganu berdasarkan kekerapan aktiviti
PK, masalah pengurusan bilik darjah, persediaan dari segi pengetahuan dan
kemahiran PK, persepsi guru-guru tentang PK, minat dan penglibatan pelajar
terhadap PK (daripada perspektif guru) dan minat guru-guru terhadap PK.
Perkaitan amalan PK dengan lokasi sekolah, jantina guru dan pengalaman mengajar
juga ditentukan. Seramai 70 orang responden terlibat dan alat kajian digunakan
ialah instrumen amalan PK oleh guru-guru. Data dianalisis secara deskriptif peratus
dan ujian khi kuasadua, didapati hasilnya ialah guru-guru berminat dan yakin
menggunakan amalan PK semasa mengajar matematik tetapi kekerapan aktiviti
adalah tidak memuaskan. Analisis juga mendapati tiada perkaitan amalan PK
antara lokasi sekolah, jantina guru dan pengalaman mengajar guru.
Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu
setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka kearah pelajaran.
Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah
dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001).
Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan
pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan
guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan
menggunakan pendekatan secara kumpulan.
Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi antara
satu sama lain dan boleh belajar
melalui pengalaman sendiri.
Pelajar-pelajar melakukan
aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman
pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti
dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar
belajar dalam kumpulan, mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk
nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) serta mempertingkatkan
kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu adalah diharapkan apabila
pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, mereka akan mencerminkan
diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara.
Kaedah kumpulan merupakan satu
inovasi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar
khususnya dalam pembelajaran matematik. Kaedah kumpulan sama kebolehan
membolehkan guru membimbing pelajar-pelajar mengikut kebolehan di samping
menjalankan aktiviti-aktiviti pengayaan dan pemulihan mengikut keperluan
masing-masing. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar
peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbang rasa, perkembangan sahsiah
dan kemahiran sosial (Buku Panduan
KBSR, 1982). Pengajaran dan pembelajaran matematik dengan kaedah kumpulan boleh
dilakukan dengan pelbagai strategi. Satu daripada strategi adalah melalui
amalan Pembelajaran Koperatif (PK).
Latar Belakang
Kajian
Negara Malaysia kini memerlukan lebih banyak pakar dalam
bidang sains dan teknologi. Bidang ini memerlukan mereka yang berkebolehan
mengasimilasi dan mentafsir maklumat secara matematik dan statistik. Ini
bermakna matematik adalah merupakan satu mata pelajaran yang sangat penting
dalam era menuju kemajuan sains dan teknologi di samping kehidupan harian dalam
‘survival’ manusia sejagat hari ini.
Matematik boleh dikatakan kunci kepada peluang pekerjaan dan karier di
mana kebolehan menyelesaian masalah dalam matematik adalah mustahak sebagai
asas pendemokrasian dalam era teknologi terkini.
Pembelajaran matematik KBSR
(1993) dirancang supaya mencapai matlamat iaitu untuk meningkatkan pengetahuan,
ketrampilan dan minat pelajar terhadap matematik. Mereka diharapkan akan
berupaya menggunakan matematik secara berkesan dalam penyelesaian masalah serta
mempunyai persediaan yang mencukupi bagi melanjutkan pelajaran dan berfungsi
secara produktif dalam kerjaya mereka. Mata pelajaran matematik telah dijadikan
mata pelajaran teras di semua peringkat persekolahan. Bagaimanapun pencapaian
dan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut tidaklah begitu
menggalakkan. Ini mungkin ada kaitan dengan pendekatan pengajaran oleh guru-guru itu sendiri. Menurut Byres
(1993), kaedah pengajaran hanya mementingkan pelajar menurut sahaja apa yang
disampaikan oleh guru. Proses pembelajaran adalah berbentuk pasif dimana guru
menyampaikan pengetahuan dan pelajar menerima dan berusaha mengingati
kebanyakan ilmu itu. Peranan guru dalam
bilik darjah tidak lebih daripada menyuruh pelajar menggunakan langkah-langkah
yang diajar oleh mereka, seterusnya mengikuti apabila menjawab soalan
peperiksaan nanti. Hasilnya ramai pelajar yang gagal, benci dan takut kepada
mata pelajaran ini.
Satu perkara yang menjadi kebimbangan yang serius di negara kita
hari ini ialah kesedaran bahawa pengajaran dan pembelajaran matematik boleh
dikatakan sangat tidak menggalakkan kerana kebanyakan guru matematik tidak
melibatkan pelajar semasa proses pembelajaran di bilik darjah, yang seterusnya
mencetuskan satu kebimbangan lain yang lebih cemas terutama dalam menghadapi
era wawasan 2020 nanti. Ini seterusnya menjadi pertanyaan bagaimana
pelajar-pelajar boleh menyelesaikan masalah matematik yang berkaitan dengan
kehidupan harian selepas meninggalkan
sekolah sekiranya mempunyai sedikit ilmu matematik. Menyedari hakikat ini, maka
sewajarnya guru-guru matematik di sekolah memilih pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang boleh menarik minat para pelajar. Noraini (1994) menyatakan
di antara faktor-faktor yang boleh menarik dan merangsangkan minat seseorang
kepada sesuatu perkara iaitu: